Rabu, 20 Ogos 2008

Pertenak cacing yg berjaya 1

Cacing beri untung lumayan

BERSAHAJA: Zaimah Che Mod, 30, tidak geli bergelumang dengan cacing Afrika kerana ia mesra alam dan tidak mengeluarkan bau busuk.

Pengusaha dari Bukit Tuku hasilkan baja komposit yang mendapat sambutan menggalakkan termasuk dari luar negara

PASIR MAS: Bagi sesetengah orang, cacing adalah haiwan yang menggelikan kerana bentuknya yang panjang dan habitatnya di dalam tanah tanpa menyedari ia sebenarnya mampu membawa pulangan lumayan jika kena pada caranya.

Cacing tergolong dalam kumpulan haiwan invertebrata yang mana cacing yang paling dikenali adalah cacing tanah. Bagaimanapun, beribu jenis cacing yang lain tinggal dalam pelbagai habitat selain tanah.

Bagaimanapun, sikap fobia kebanyakan orang terhadap haiwan itu tidak mendatangkan masalah kepada Zakaria Adam, 48, dari Bukit Tuku, di sini, yang menjadikannya sebagai sumber pendapatan menguntungkan.

Malah, beliau kini mengusahakan ladang ternakan cacing seluas 1.2 hektar iaitu terbesar di negara ini dan memperoleh keuntungan lumayan menerusi penghasilan tahi cacing yang digunakan sebagai baja komposit bagi tanaman sayur, buah-buahan dan bunga-bungaan.

Zakaria berkata, idea untuk mengusahakan ternakan cacing bagi menghasilkan baja komposit tercetus ketika berkunjung ke Filipina, India dan Australia, beberapa tahun lalu apabila mendapati perusahaan itu boleh mendatangkan sumber pendapatan lumayan.

Katanya, walaupun ternakan cacing masih baru di negara ini, kajian yang dilakukan serta keyakinannya terhadap perusahaan itu membuatkan beliau bertekad menubuhkan Agro BioTani Sdn Bhd bermodalkan kira-kira RM300,000 di kampungnya.

“Berbekalkan keyakinan itu, saya membuka ladang ternakan cacing di kawasan seluas 1.2 hektar iaitu terbesar di negara ini dan mengupah beberapa pekerja termasuk empat dari India, khusus bagi menjaga cacing termasuk telurnya yang memerlukan penjagaan rapi.

MUDAH TERNAK: Cacing Afrika
dipelihara dalam kolam berisi bahan makanan terbuang

“Buat permulaan, saya membeli 100 kilogram cacing tanah yang dikenali dengan nama `African Nightcrawler’ dari India yang boleh membesar sehingga 30 sentimeter setiap seekor,” katanya.

Zakaria berkata, sehingga kini cacing peliharaan di ladangnya itu mampu menghasilkan kira-kira 40 tan baja komposit dalam sebulan dan boleh dijual dengan harga RM3 bagi sekilogram.

Katanya, proses pemeliharaan cacing tidak terlalu rumit kerana makanan haiwan itu begitu ringkas iaitu tahi haiwan, jerami, sisa makanan dan sayur-sayuran yang sudah busuk.

BANGGA: Zakaria menunjukkan bungkusan baja organik semula jadi daripada tahi cacing Afrika yang menjadi pilihan utama dalam proses penyuburan tanah.

“Perusahaan ini masih tidak begitu diketahui ramai orang, malah masyarakat sendiri tidak begitu yakin dengan pendapatan yang boleh dihasilkan melalui ternakan cacing.

“Bagaimanapun, saya yakin tidak lama lagi ramai yang akan menceburi bidang ini kerana kaedahnya agak mudah walaupun terpaksa mengeluarkan modal yang agak besar pada peringkat permulaan,” katanya.

Zakaria berkata, mereka yang berminat untuk menceburi bidang ini terutama belia dan siswazah tidak perlu gusar kerana syarikatnya turut membekalkan cacing dan mereka boleh mendapatkannya dengan harga yang berpatutan.

“Saya memang menyokong jika ada individu tertentu yang berhasrat untuk menceburi bidang ini kerana permintaan terhadap baja komposit dan cacing untuk diternak semula amat tinggi dan saya seorang tidak mampu memenuhi permintaan pasaran.

“Setakat ini, cacing jenis ini boleh dijual pada harga RM450 hingga RM500 bagi sekilogram. Bagaimanapun, harganya boleh meningkat lagi sekiranya mendapat permintaan yang tinggi,” katanya.

Sejak diusahakan kira-kira dua tahun lalu, Zakaria berkata jumlah cacingnya kini sudah meningkat kepada 400 kilogram dan tidak mempunyai masalah bagi memenuhi permintaan pelanggannya termasuk jabatan kerajaan, pertubuhan peladang serta syarikat pertanian.

“Baja yang dikeluarkan oleh cacing peliharaan saya ini agak cepat dan perlu dikumpulkan setiap dua hari sekali serta perlu dimasukkan ke dalam plastik.

“Baja komposit keluaran syarikat saya dibungkus ke dalam plastik dengan berat 2 kilogram (kg), 5 kg sehingga 50kg,” katanya.

Zakaria berkata, cacing keluaran syarikatnya turut mendapat tempahan sangat menggalakkan dari negara jiran termasuk ke Singapura dan Brunei, selain permintaan dari pasaran tempatan di seluruh negara.

Beliau berkata, sesiapa yang berminat menjadi usahawan tani termasuk menjalankan perusahaan ternakan cacing perlu bekerja keras kerana kejayaan tidak akan diperoleh melalui cara yang singkat, sebaliknya perlu banyak bersabar menghadapi dugaan.

“Untuk berjaya dalam bidang ini, seseorang itu perlu banyak bersabar dan bekerja keras tanpa mengenal jemu kerana kejayaan tidak akan datang sekelip mata,” katanya.

FAKTA: Projek ternak cacing

# RM300,000 modal permulaan

# 40 tan baja komposit dihasilkan daripada najis cacing sebulan dijual dengan harga RM3 sekilogram

# 1.2 hektar keluasan ladang ternakan

# Cacing boleh membesar hingga 30 sentimeter.

# Mampu menghasilkan kira-kira 40 tan baja komposit dalam sebulan

# Permintaan terhadap baja komposit amat tinggi.